LAGU UNTUK BLOGGER

Friday 10 June 2011

Khir Toyo bayar lebih RM6 juta untuk ubah suai banglo: Saksi


SHAH ALAM: Seorang pereka laman bebas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima bayaran lebih RM6 juta daripada Dr Mohamad Khir Toyo untuk kerja pengubahsuaian banglo milik bekas Menteri Besar Selangor itu yang terletak di Seksyen 7 di sini.

Saksi ketiga pendakwaan, Nasir Ismail, 55, berkata bayaran itu diterima secara tunai memandangkan statusnya sebagai seorang muflis dan tidak mempunyai akaun bank.
"Saya terima bayaran pendahuluan sebanyak RM250,000 pada Mac 2006 dan kemudian saya ke pejabat pemegang harta (kini insolvensi) untuk uruskan pasport ke Bali untuk membeli barang.
"Pembayaran seterusnya saya terima kira-kira RM500,000...setiap kali pembayaran di mana empat atau lima kali pembayaran diserahkan oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni manakala tujuh atau lapan kali pembayaran diserahkan oleh Dr Khir Toyo sendiri," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud.

Nasir memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes Dr Mohamad Khir, 45, yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin.

Hartanah itu yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Dr Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Nasir yang diperkenalkan kepada Dr Mohamad Khir oleh ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor, berkata Shamsuddin dilantik oleh bekas Menteri Besar itu sebagai pengurus dalam urusan kerja pengubahsuaian banglo tersebut.

Ditanya mengenai siapa pemilik sebenar banglo itu, saksi itu menjawab: "Saya keliru sebab yang beri arahan Dr Mohamad Khir tetapi bila dapat pelan ada nama Ditamas Sdn Bhd. Pelan itu telah diluluskan."

"Semasa awak terima wang, awak tiada akaun bank, jadi bagaimana awak uruskan wang?" soal Masri.

Nasir menjawab: "Saya bayar pada supplier (pembekal) dan sebahagian wang itu saya simpan untuk beri kepada pekerja yang diupah.

"Ada atau tidak pada bila-bila masa awak kemuka sebarang sebut harga pada Dr Mohamad Khir?" soal Masri.

Saksi itu menjawab: "Ya. Pada Dr Mohamad Khir sendiri dan bila dirujuk (sebut harga) Dr Mohamad Khir minta kurang sikit."

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam M Athimulan yang mewakili Dr Mohamad Khir berhubung status muflisnya, Nasir berkata beliau muflis sejak 1998 dan kemudiannya bebas daripada status muflis pada 2008.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki disambung petang ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment