LAGU UNTUK BLOGGER

Sunday 30 October 2011

Wardina “Terbongek” Dibidas Anak TPM, Najwa!



Sebenarnya, saya pelik dengan kerenah seorang artis dan selebiriti wanita yang merasakan dirinya bagus, intelek, seolah-olah ‘berkasta tinggi’ dan sentiasa menganggap pandangannya itu betul. Siapa lagi artis wanita itu jika bukan Wardina Safiyyah.
Sebagaimana kita tahu, sejak Wardina mengubah imejnya dari tidak bertudung kepada imej yang lebih baik dan mengenakan tudung, identiti baru Wardina itu dipuji serta diakui sebagai satu tindakan yang sangat baik. Saya sendiri suka dan puji dengan tindakan Wardina tersebut.
Dijelaskan di sini, pujian dan sokongan tersebut adalah kerana penghijrahan dan penampilan imejnya yang lebih Islamik. Meskipun masih lagi mengenakan pakaian yang agak menampakkan bentuk tubuhnya dan menayangkan bentuk dengan menjadi model produk kelansingan badan, tindakan Wardina itu boleh dikira sebagai satu permulaan yang baik untuk menutup aurat. Itu saja.
Namun malangnya, penghijrahan identiti Wardina itu tidak sekata dengan penghijrahan minda dan sikap Wardina. Setelah bertudung, dia sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi yang mencetuskan kekeliruan serta dikatakan sering berlagak lebih bagus dari orang lain, termasuk rakan-rakan artisnya.
Suatu ketika dahulu, Wardina pernah mengeluarkan kenyataan berbaur politik terhadap Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan seolah-olah mencabar Menteri itu untuk bertanding pada pilihanraya akan datang. Komen “retweet”nya di laman twitter Shahrizat menggambarkan dia seolah-olah mahu menceburi bidang politik dengan bercita-cita untuk duduk ditempat Shahrizat di Parlimen.
Ekoran itu, dia “dibelasah” teruk oleh beberapa blogger politik semasa yang mempertikaikan tindakan bodohnya itu. Tidak tahan dengan serangan blogger tersebut, Wardina bertindak mengadakan sidang media menjelaskan bahawa dia tidak punya kaitan atau minat dengan dunia politik! Munasabahkah kenyataan Wardina itu jika dibandingkan dengan kenyataannya pada Shahrizat?
Setelah insiden itu reda, Wardina sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila mengecam sebilangan artis yang ditanya wartawan mengenai perlaksanaan hukum hudud. Kata Wardina, selain mengutuk wartawan yang berartis-artis tersebut tidak layak memberikan komen mengenai perkara itu kerana tidak berilmu.
Saya tertanya-tanya, dengan penghijrahan Wardina dari sudut pakaian, apakah dia berhak menghukum rakan-rakan artisnya sebagai tidak berilmu? Apakah semata-mata kerana Wardina kini bertudung maka dia berhak untuk menafikan rakan-rakan artisnya memberikan pandangan? Jika benar pun rakan-rakan artisnya itu tidak berilmu, apakah mereka diharamkan oleh hukum Islam untuk memberikan pendapat mengenai hudud dari perspektif mereka? Siapa Wardina untuk menafikan hak mereka bersuara?
Terbaru, Wardina yang sering rasa dia semua betul itu telah dibidas oleh anak gadis Timbalan Perdana Menteri, Najwa Muhyiddin. Dalam insiden di twitter itu, Wardina sekali lagi turut campur soal politik dengan mengandaikan bahawa anak-anak Menteri tidak ada seorang pun yang belajar di sekolah bantuan penuh kerajaan.
Meskipun Wardina meletakkan tanda soal dalam andaiannya itu, kenyataan di twitter tersebut jelas cuba memburuk-burukkan keluarga Menteri-Menteri. Setelah di”terjah” Najwa, baru dia “terbongek” dan “cover” malu! Pada pandangan saya, jika Najwa tidak bersuara, sudah tentu Wardina akan tersenyum puas!
Begitulah Wardina Safiyyah. Seorang wanita cantik bertudung yang menafikan terlibat atau menyebelahi mana-mana parti politik di negara ini. Namun, dari gaya bahasa dan sikap yang ditunjukkan, rasanya budak mentah pun tahu dia berpihak kepada parti mana. Pada saya, Wardina tak perlu hipokrit untuk mengaku menyokong mana-mana parti pada ketika ini kerana ramai sudah nampak “belang” sebenar pendiriannya.
Tak payah takut, Wardina. Kalau berpihak kepada DAP sekali pun, saya akan hormati pendirian Wardina itu, tapi tak perlulah hipokrit untuk menafikan sesuatu yang kini menjadi “open secret”. Ramai yang dah tahu…

Friday 28 October 2011

Cabaran Anwar – Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad



Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad – Empat tahun selepas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Haniff Omar pertama kali memberitahu saya tentang dakwaan-dakwaan mengaitkan Anwar dengan pelakuan homoseksual, saya menerima satu naskah buku ’50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri’ (50 Reasons Why Anwar Ibrahim Cannot Become Prime Minister.)
Buku itu ditulis oleh Datuk Khalid Jafri, bekas pengarang Utusan Malaysia. Menyedari buku tersebut begitu sensasi dan menganggapnya tidak lain daripada usaha untuk mendapatkan wang, saya enggan membacanya.
Namun, khabar-khabar angin berhubung Anwar masih tidak dapat dilenyapkan.
Pada 1997, saya menerima sepucuk surat daripada seorang wanita bernama Ummi Hafilda.
Kandungan surat tersebut mengusik hati kerana apa yang diperkatakan begitu spesifik dan terperinci mengenai dakwaan-dakwaan liwat terhadap Anwar.
Saya kemudian mendapat tahu Ummi sebenarnya adik kepada setiausaha politik Anwar, Mohd Azmin Ali.
Saya mengaku walaupun begitu saya masih menganggap segala dakwaan tersebut tidak masuk di akal.
Jika kandungannya mengenai hubungan Anwar dengan wanita, mungkin saya boleh mempercayainya, tetapi dalam hal ini macam mana pula seseorang yang begitu alim membabitkan diri dengan kegiatan-kegiatan homoseksual?
Payah bagi saya untuk mempercayai seorang dewasa berkedudukan tinggi dan seorang Muslim yang boleh dicontohi melakukan perkara yang didakwa itu.

Walaupun dakwaan Ummi mengukuhkan laporan KPN yang disampaikan kepada saya empat tahun sebelum itu, saya tidak menganggapnya sebagai serius.
Sebulan kemudian, sepucuk lagi surat Ummi menyusul. Kali ini untuk memaklumkan dia menarik balik dakwaan-dakwaan tersebut.
Saya berasa hairan mengapa pula kali ini dia menafikan apa yang didakwanya sebelum itu.
Sementara itu, polis meneruskan pemerhatian ke atas segala aktiviti Timbalan Perdana Menteri, seperti mana lumrah dilakukan mereka.
Walaupun sekiranya saya menyuruh mereka jangan melakukannya, saya yakin mereka tidak akan ikut.
Kali ini mereka mempunyai bukti, termasuk gambar-gambar dan pengakuan beberapa orang yang terbabit.
Apabila KPN baru, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan pegawai penyiasatnya Tan Sri Musa Hassan mengemukakan bukti kepada saya, barulah saya sedar yang saya tidak lagi boleh mengetepikannya.
Lalu saya berkata saya mahu berjumpa dengan kesemua saksi dan berbincang dengan mereka secara peribadi. Tindakan itu agak rumit kerana ia bermakna saya membabitkan diri secara terus dengan perkara berkenaan.
Pada waktu itu saya sedang dalam proses mencari penyelesaian kepada krisis mata wang. Ia merupakan sesuatu yang saya perlu memberikan perhatian penuh memandangkan Sukan Komanwel 1998 akan diadakan.
Sukan tersebut amat penting bagi saya, dan itulah sebabnya saya berasa tidak selesa kerana isu terbaru itu juga memerlukan perhatian saya.
Tidak lama kemudian saya bertemu dengan kesemua saksi secara individu dan tertutup di kediaman rasmi saya, Sri Perdana, Kuala Lumpur.
Saya memberikan kepada mereka jaminan bahawa segala yang dibincangkan adalah rahsia dan saya hanya mahu mendengar sendiri cerita-cerita tersebut.
Di antara saksi termasuk Azizan Abu Bakar, pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut polis Anwar meliwat Azizan beberapa kali, jadi saya bertanya kepada Azizan mengenai segala dakwaan itu. Sememangnya dia berasa amat takut kerana Anwar ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
Disebabkan itu mesyuarat di antara kami mendapati dirinya begitu takut dan tidak keruan.
Azizan memberitahu segala-gala secara terperinci tentang kejadian itu.
Dia berkata dia amat takut kerana Anwar seorang yang begitu berkuasa dan boleh memberikannya masalah besar. Itulah sebabnya dia mengaku tidak berani melawan.
Saya sedar betapa payah untuk mengingat kembali tarikh sebenar dan waktu segala-galanya berlaku. Itulah sebabnya saya tidak mementingkan sangat butiran-butiran tersebut.
Pada saya pertemuan tersebut mencukupi untuk meyakinkan saya bahawa Azizan bercakap benar.
Di mahkamah, tarikh sebenar dan waktu amatlah penting dan cukup bagi digunakan sebagai bahan bukti sama ada untuk menghukum atau membebaskan seseorang tertuduh, tetapi saya juga percaya para peguam dan hakim juga tidak mungkin mudah mengingati secara terperinci dan dengan tepat apa yang mereka lakukan setahun lalu.
Sesetengah orang mungkin menyimpan catatan dalam diari, tetapi saya rasa tidak siapa pun yang mencatatkan segala-gala yang mereka lakukan setahun lalu.
Saya turut menemuramah empat orang wanita yang memberitahu saya mereka dipujuk oleh seorang lelaki India bernama Nalla supaya pergi berjumpa dengan seseorang yang amat berkuasa.
Beliau dikatakan membawa wanita-wanita tersebut secara berasingan ke sebuah rumah di Bukit Kenny, sebuah kawasan eksklusif orang-orang kaya di Kuala Lumpur. Di sana mereka bertemu dengan seorang yang mereka mengenali sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Mereka disuruh menanggalkan pakaian dengan tujuan melakukan hubungan seks. Dua daripada mereka enggan melakukannya, tetapi yang dua orang lagi bersetuju.
Mereka mengaku bersedia untuk mengadu kepada polis dan kepada saya, tetapi mereka berkeras tidak mahu hadir di mahkamah untuk memberi keterangan.
Pihak polis memberikan taklimat terperinci kepada saya mengenai hasil penyiasatan mereka serta pendapat mereka berhubung segala bukti yang dikumpulkan.
Mereka juga mengaku beryakinan bahawa kesemua saksi yang mengadakan pertemuan dengan saya bercakap benar.
Berhadapan dengan segala maklumat daripada polis dan hasil temuramah saya sendiri, saya berasa terpanggil untuk melakukan sesuatu.
Saya tidak boleh membiarkan orang berkarakter seperti itu menggantikan saya sebagai Perdana Menteri Malaysia, malahan saya langsung tidak mahu beliau dalam kerajaan.
Segala tindakan dan kemunafikannya berselindung di sebalik wajah seorang yang alim tidak boleh diterima. Saya juga tidak dapat menerima cara-cara keji yang digunakan beliau untuk memerangkap orang dan seterusnya memastikan mereka menutup mulut.
Saya kemudian memanggil kesemua Menteri Besar UMNO, Ketua Menteri dan ketua-ketua negeri ke Sri Perdana untuk bermesyuarat. Saya juga mengarahkan pihak polis supaya memaklumkan kepada kesemua saksi bersedia untuk dipanggil.
Kemudian saya memberi taklimat kepada pemimpin-pemimpin parti tersebut mengenai apa yang saya dimaklumkan mengenai Anwar. Saya menunjukkan kepada mereka gambar-gambar kesemua saksi.
Saya bertanya kepada mereka sama ada mahu menyoal kesemua saksi, tetapi setelah berbincang sesama sendiri mereka menyatakan keyakinan terhadap apa yang didakwa dan tidak berasa perlu untuk menemuramah saksi-saksi tersebut.
Saya tanya mereka apa tindakan yang harus saya ambil. Saya berkata sekiranya saya menyembunyikan bukti dan membenarkan Anwar meneruskan tugasnya, lambat laun apa yang dilakukannya akan dibongkar jua dan digunakan untuk memeras ugutnya.

Dan dengan demikian dia akan terus terdedah kepada bahaya bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada Malaysia.
Malahan saya juga akan terbabit sekiranya diketahui saya sememangnya tahu segala yang berlaku tetapi gagal mengambil sebarang tindakan.
Jika itu berlaku saya pasti dituduh bersekongkol menutup perkara tersebut.
Macam mana sekali pun, saya tidak boleh membenarkan beliau terus memegang jawatannya. Saya perlu melakukan sesuatu yang betul dan menyingkir beliau.
Saya juga merasakan apabila orang ramai mengetahui tindakan yang saya ambil, saya yakin mereka akan bersetuju.
Seterusnya para pemimpin yang mengadakan pertemuan dengan saya sebulat suara menyetujui rancangan saya dan berkata mereka akan menyokong saya sekiranya berlaku sesuatu.
Berbeza daripada proses untuk menyingkir seseorang hakim, tindakan untuk menyingkir Anwar tidak perlu mematuhi sebarang prosedur Perlembagaan.
Sebagai Perdana Menteri saya mempunyai kuasa untuk menyingkir beliau daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri selain menggugurkan beliau daripada Kabinet, seperti mana saya mempunyai kuasa untuk melantik beliau.
Bagaimana pun, selepas beliau berhenti menjadi anggota kerajaan, beliau masih menjadi ahli UMNO dan Timbalan Presiden parti itu. Itu juga tidak dapat diterima.
Hakikatnya, penyingkirannya sebagai Timbalan Presiden dan ahli parti hanya boleh dilakukan dengan persetujuan Majlis Tertinggi UMNO.
Pada masa itu saya juga sedang serius membuat rancangan untuk berundur, jadi saya perlu membuat keputusan segera.
Pada 2 September 1998 saya mengeluarkan kenyataan melalui agensi berita Bernama bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipecat daripada Kerajaan.
Pada waktu itu ramai orang telah membaca buku Khalid Jafri yang disebarkan juga kepada kesemua perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO. Buku tersebut juga laris dijual di pasar-pasar malam.
Ramai yang mengetahui tentang surat Ummi Hafilda, tetapi kebanyakannya sama ada tidak menyedarinya atau tidak yakin apa yang berlaku.
Rata-rata ramai yang mempercayai pemecatan Anwar satu tindakan bermotifkan politik kerana bukan rahsia lagi usaha beliau untuk menjejaskan kredibiliti saya dan menghakis sokongan terhadap saya di kalangan ahli UMNO.
Para penyokong beliau menuduh saya mengamalkan kronisme dan rasuah hinggakan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 1998 ada di antara mereka yang secara terbuka mengkritik saya dan kepimpinan saya.
Orang ramai sedar Anwar sebenarnya orang di sebalik serangan tersebut, tetapi pada waktu itu saya masih belum bersedia untuk mengumumkan segala salah lakunya. Saya hanya sekadar memberikan isyarat tetapi tidak mendedahkannya semasa menyampaikan ucapan penutup.
Apa yang saya dedahkan secara terperinci kepada pihak Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin UMNO tidak dapat didedahkan kepada orang ramai. Disebabkan itulah ramai yang menganggap tindakan saya menyingkirkan Anwar disebabkan kebimbangan kononnya Anwar akan menggulingkan saya.
Hingga sekarang pun masih payah bagi saya untuk menerangkan dengan meyakinkan bahawa sebenarnya saya tidak takut segala ini berlaku.
Dengan kepercayaan saya masih popular di kalangan majoriti ahli UMNO, saya terus yakin akan berjaya mengatasi sebarang cabaran daripada Anwar.
Saya berjaya mengatasi Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam – kedua-duanya tokoh UMNO yang terbukti berpengaruh, sementara Anwar pula hanya seorang individu dari luar yang pernah memusuhi parti di masa lalu.
Saya telah mendidik dan membentuk beliau dan membantu beliau naik dalam UMNO sehingga menjadi Timbalan Presiden dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri.
Saya yakin seluruh ahli UMNO dapat melihat bagaimana beliau sebagai anak didik saya bersikap begitu tidak mengenang budi dan tidak sabar, apatah lagi bagi seorang muka baru.
Di kalangan veteran parti beliau hanya seorang yang berlagak – seorang yang telah mengguris hati ramai penyokong serta tokoh dalam kerakusannya untuk membolos diri naik ke atas.
Mungkin beliau mempunyai barisan penyokong yang komited dan kuat – yang sanggup menuruti dan berhutang budi dengan beliau atau untuk kepentingan lain. Bagaimana pun, saya yakin akan dapat mengatasi beliau sekiranya beliau mencabar.
Dakwaan saya menyingkirkan beliau kerana takut beliau akan menggulingkan saya tidak berasas sama sekali.
Saya menyingkir beliau di atas dua sebab – bahawa beliau tidak sesuai meneruskan perkhidmatan dalam kerajaan dan beliau juga tidak sesuai menggantikan saya sebagai Perdana Menteri.
Sekarang saya terpaksa membawa kes Anwar ke Majlis Tertinggi UMNO. Dan kerana kesemua Menteri Besar yang saya telah yakinkan tentang perkara tersebut juga ahli Majlis Tertinggi, saya percaya akan mendapat sokongan padu daripada mereka.
Tetapi Anwar juga seorang ahli parti, malahan Timbalan Presiden. Ini bermakna beliau akan hadir pada mesyuarat Majlis dan duduk di sebelah saya.
Mesyuarat bagi menentukan nasib Anwar diadakan beberapa hari kemudian di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Saya memulakan mesyuarat dengan menerangkan secara terperinci rasional di sebalik tindakan menyingkir beliau daripada kerajaan. Dan dengan pihak yang dimaksudkan duduk di sebelah saya, suasana amat tegang dan saya tidak berasa selesa.
Tetapi saya tidak mempunyai pilihan – saya tidak dapat mengarahkan beliau supaya keluar kerana sebagai seorang ahli beliau berhak hadir dalam mesyuarat.
Setelah saya habis menerangkan rasional tindakan saya itu, saya memberikan peluang kepada Timbalan Presiden UMNO untuk menjawab segala tuduhan terhadapnya selain memberi sebab kenapa beliau tidak patut dipecat.
Sepanjang keterangannya, Anwar tidak sekali pun menyentuh persoalan mengenai homoseksual, tetapi hanya memberi penumpuan kepada hubungan beliau dengan wanita.
Dia bertegas mengatakan tidak melalukan sebarang yang luar biasa. Beliau berkeras berkata semua termasuk ahli-ahli Majlis Tertinggi juga pernah melakukan perkara sama.
Dia menepuk meja sekali dua bagi menunjukkan kemarahan.
Kesemua ahli Majlis mendengar apa yang dikatakannya tanpa sekali pun menyampuk atau menyuruh beliau berhenti.
Setelah habis, ahli yang pertama bercakap ialah Datuk Paduka Ibrahim Ali. Beliau mengaku mengenali Anwar sejak sekian lama – sejak tahun-tahun 1970an dan kedua-dua mereka pernah ditahan di Pusat Tahanan Kamunting.
Beliau mengkritik Anwar kerana menepuk meja dan seterusnya berkata beliau mahu mempercayai apa yang dikatakan kerana beliau telah membaca buku Khalid Jafri dan juga surat Ummi Hafilda (salinan surat tersebut sebenarnya disebarkan secara terbuka.)
Ibrahim berkata Anwar bukan saja patut dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi juga daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan ahli UMNO.
Seperti lumrah prosedur yang saya sentiasa ikuti, saya membenarkan semua orang berhujah. Ramai yang menyatakan pendapat, kebanyakannya menentang Anwar, tetapi tidak selantang Ibrahim.
Mereka menyokong tindakan saya memecatnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, dan selepas itu ada di antara mereka yang mencadangkan Anwar disingkir daripada jawatannya dalam UMNO. Ada yang menggesa supaya keahlian UMNO beliau ditarik balik.
Saya masih tidak bersedia untuk membincangkan tindakan yang akan diambil. Semua orang telah bercakap dan saya menyuruh Anwar memberikan reaksi kepada segala pandangan oleh ahli-ahli Majlis.
Beliau enggan dan seterusnya berdiri dan meninggalkan mesyuarat.
Selepas itu saya bertanya kepada Majlis apa yang harus dibuat. Saya mengingatkan mereka berhadapan dengan dua pilihan: penyingkiran sebagai Timbalan Presiden dan penyingkiran daripada parti.
Majoriti menyetujui tindakan penyingkiran, yang bermakna Anwar tidak lagi memegang jawatan Timbalan Presiden.
Jam hampir tengah malam apabila mesyuarat berakhir, tetapi saya tidak pulang kerana perlu menandatangani beberapa surat, sementara yang lain-lainnya meninggalkan ruang. Saya diberitahu para penyokong Anwar berkumpul di tingkat bawah, tetapi polis akan memastikan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
Tidak lama kemudian apabila saya menuju ke bawah saya mendapati kira-kira 60 orang penyokongnya dalam keadaan marah. Mereka membaling botol plastik ke arah saya sebelum saya sempat memasuki kereta. Mereka menjerit dengan marah dan mengeluarkan kata-kata termasuk ‘zalim’ dan ‘diktator’
Sebenarnya Anwar telah menjemput kumpulan yang setia dengan beliau ke situ. Beliau juga telah bercakap dengan mereka selepas keluar daripada mesyuarat.
Dengan dilindungi pengawal peribadi dan anggota polis, saya yakin mereka tidak akan dapat mencederakan saya kerana keadaan terkawal.
Sejak sekian lama sehingga pada malam itu saya biasa berhadapan dengan orang yang menghormati saya ke mana saja saya pergi, tetapi kali ini merupakan pengalaman berbeza. Saya terkejut melihat para penyokong Anwar di situ.
Walaupun di masa-masa lampau beberapa orang tokoh pernah dipecat, termasuk Datuk Harun Idris, Aziz Ishak dan juga diri saya sendiri, namun keadaan seperti yang berlaku pada malam itu tidak pernah terjadi.
Pada pengalaman saya drama yang berlaku itu sememangnya stail Anwar. Selepas beliau dipecat, beliau terus mengapi-apikan pengikutnya.
Beliau menjelajah ke seluruh negara memberitahu orang ramai kononnya pemecatan itu sebahagian daripada konspirasi untuk menggagalkan rancangannya beliau untuk menjadi Perdana Menteri, dan kononnya segala-gala yang berlaku tidak lain daripada percaturan politik.
Beliau tidak pun menyebut atau pun menyentuh keterlibatannya dalam aktiviti-aktiviti tidak bermoral.
PAS yang mengecamnya sewaktu berada di dalam UMNO kini mempertahankan beliau.
Ahli Parlimen PAS Mohamad Sabu yang sebelum itu sentiasa menyelitkan bayang-bayang kegiatan homoseksual dan tidak bermoral Anwar kini begitu teruja hinggakan seolah-olah memeluknya erat.
Seterusnya ahli-ahli PAS mengadakan perhimpunan dan menarik hingga seramai 30,000 orang di mana saja Anwar berucap. Kebanyakan mereka ahli PAS atau penyokong parti itu. Ada juga ahli UMNO yang turut hadir.
Saya tidak mahu menjadikan kempen riuh di serata negara beliau sebagai satu isu besar kerana Sukan Komanwel sedang berlangsung. Tentu sekali tidak sesuai bagi saya menjelajah ke seluruh negara untuk menerangkan keadaan sebenar.
Ia merupakan sesuatu yang rumit – bukan sesuatu yang mudah diterangkan kepada audiens yang besar.
Saya, bagaimana pun, memanggil kesemua pemimpin UMNO akar umbi untuk memberikan penjelasan. Kebanyakannya mempercayai apa yang saya terangkan tetapi ada juga yang melemparkan perkataan-perkataan kesat dan meninggalkan perjumpaan.
Sememangnya payah untuk meyakinkan orang ramai bahawa Anwar bukannya dimangsakan atau pun simbol kemurnian yang sentiasa dilaungkannya.
Telah begitu lama beliau bersama para pemimpin UMNO bahagian serta ahli-ahli. Ini kerana saya merestui beliau membantu memantapkan talian hubungan dan komunikasi dia antara pejuang parti dan akar umbi.
Tetapi beliau menggunakan peluang tersebut untuk mempromosikan diri, terutama di kalangan orang kampung. Beliau berjaya memimpin dan mengimamkan orang Islam dalam solat berjemaah dan menyampaikan khutbah-khutbah yang meyakinkan.
Dalam keadaan sedemikian amat payah bagi orang ramai mempercayai beliau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Pada pemikiran mereka, jika beliau seorang yang baik, orang yang menuduhnya , iaitu saya, semestinya jahat. Begitu mudah dan ringkas pendirian mereka – pendirian yang dengan liciknya dibentuk oleh seorang yang pakar dalam berhujah dan payah dibidas.
Akhirnya saya digambarkan sebagai tidak adil di mata ramai rakyat Malaysia yang alim.
Beberapa hari selepas pemecatan Anwar daripada Kerajaan, ketua pembangkang di Parlimen Lim Kit Siang mengeluarkan satu kenyataan media bahawa saya sebagai Perdana Menteri mempunyai tanggung jawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa berhubung pemecatan Anwar.
Presiden Aliran, P. Ramakrishnan juga berkata rakyat berhak diberitahu sebab-sebab Anwar dipecat.
Lagi pun, terdapat 14 NGO mengeluarkan kenyataan media bersama mendesak supaya saya “menerangkan dengan betul” mengenai penyingkiran Anwar.
Dengan suara dan desakan yang semakin lantang dari pelbagai pihak meminta saya memberikan penjelasan, saya pun mengadakan satu sidang media di pejabat saya pada 22 September.
Di sidang media itu, seorang wartawan bertanya mengapa saya memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO.
Saya menjelaskan pada mulanya saya sendiri tidak mempercayai segala dakwaan homoseksual terhadap Anwar, tetapi kemudian semakin yakin selepas menemuramah pasangan-pasangan Anwar.
Anwar kemudian mengemukakan saman malu RM100 juta terhadap saya.
Mahkamah Tinggi kemudian membatalkan tindakan saman tersebut kerana saya dilindungi prinsip kebenaran dan perlindungan bersyarat (qualified privilege).
Dalam perundangan kebenaran merupakan pembelaan lengkap dalam kes saman malu.
Menurut Mahkamah Tinggi, sebagai Perdana Menteri saya mempunyai tanggung jawab di bawah undang-undang selain tanggung jawab moral dan sosial untuk memaklumkan kepada seluruh negara berkenaan perkara-perkara berkaitan Anwar dan kelayakan beliau memegang jawatan-jawatan awam. Perkara tersebut telah menjadi isu kepentingan awam.
Saya mempunyai tanggung jawab untuk menerangkan kepada negara reaksi Kerajaan dan UMNO berhubung beberapa serangan serta dakwaan oleh Anwar.
Kesemuanya merupakan isu-isu am kepentingan awam, yang mereka mempunyai sebab dan kepentingan untuk dimaklumkan.
Mahkamah Tinggi berkata tindakan saya dilakukan dengan jujur dan tidak bertujuan jahat apabila saya bercakap mengenai Anwar. Oleh itu, saya dilindungi pembelaan bersyarat.
Mahkamah Rayuan tidak membenarkan rayuan Anwar dan mengulangi apa yang dikatakan oleh Mahkamah Tinggi, iaitu saya dilindungi pembelaan kebenaran dan pembelaan bersyarat.
Mahkamah Persekutuan juga tidak membenarkan permohonan Anwar supaya dibenarkan membuat rayuan. Mahkamah tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, beberapa perkembangan di Indonesia menggalakkan lagi Anwar dan penyokongnya.
Pada 21 Mei, 1998 Presiden Suharto digulingkan melalui tekanan demonstrasi jalanan yang berterusan dan besar-besaran. Mengambil iktibar daripada kempen anti Suharto di Indonesia, Anwar mula bercakap tentang reformasi dan menggambarkan saya sebagai korup dan lebih mementingkan kronisme.
Pada 20 September, sehari sebelum upacara penutup Sukan Komanwel, Anwar mengadakan perhimpunan besar di Dataran Merdeka di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur yang juga merupakan tapak bersejarah di mana negara ini mengisytiharkan Merdeka pada 1957.
Lokasi tersebut pada beliau dan para penyokongnya merupakan sesuatu yang simbolik dan bijak, tetapi bagi ramai ahli UMNO, ia merupakan satu persendaan.
Perhimpunan tersebut sengaja diadakan pada masa yang sama dengan lawatan Queen Elizabeth II ke Gereja St Mary yang terletak di sebelah kawasan tersebut. Ini dilihat sebagai satu tindakan tidak menghormati lawatan seorang pembesar negara, tetapi Anwar tidak mempedulikannya.
Anggota polis ditempatkan di sekitar kawasan berkenaan dan memastikan Queen Elizabeth tidak diancam bahaya.
Anwar seterusnya menggesa pengikutnya membakar kediaman saya dan juga ibu pejabat UMNO. Berikutan itu satu kumpulan berjaya memecah masuk bangunan UMNO dan merosakkan beberapa buah bilik.
Satu lagi kumpulan berjaya menghampiri satu kilometer dari kediaman saya, tetapi sempat disuraikan oleh anggota polis. Pihak polis, bagaimana pun, tidak lagi dapat membiarkan tunjuk perasaan oleh Anwar dan penyokongnya, tidak kira sama ada Sukan Komanwel sedang berlangsung atau pun tidak.
Pada petang 20 September, mereka menangkap beliau di rumahnya.
Sejak waktu itu saya sedar akan timbul lebih banyak masalah, namun saya berharap ia tidak berlaku sewaktu Sukan Komanwel sedang berlangsung.
Kumpulan wartawan luar yang berada di sini untuk membuat liputan pemberontakan oleh Anwar menganggap perkembangan yang berlaku sebagai peluang untuk menghentam dan mengutuk Malaysia kerana menangkap seorang pemimpin Pembangkang. Itulah yang mereka amat harapkan berlaku.
Sementara itu, wartawan tempatan yang mengetahui latar belakang segala isu, mengehadkan liputan mereka kepada perkembangan dan keputusan Sukan Komanwel, terutama prestasi Malaysia yang cemerlang. Laporan mereka mengenai demonstrasi itu hanya berdasarkan fakta semata-mata.
Tetapi apabila kami mengadakan majlis makan tengah hari untuk media di Hotel Mint yang merupakan pusat media sepanjang Sukan Komanwel, seorang wartawan wanita dari Australia bertanyakan tentang Anwar.
Beliau begitu sinis apabila menyentuh tentang tuduhan salah laku moral dan liwat di antara orang dewasa berdasarkan suka sama suka apabila menganggapnya sebagai perkara biasa. Bagi beliau dan mereka yang sehaluan dengannya Anwar tidak melakukan sebarang kesalahan.
Pada waktu itu saya masih sibuk mengatur dan menyelia kawalan mata wang.
Para pemerhati dan wartawan asing berkata perbezaan cara Anwar dan saya menangani krisis kewangan di antara sebab beliau dipecat, tetapi tuduhan itu tidak benar.
Perbezaan di antara kami amat sesuai dibahas di Kabinet, tetapi ia tidak sesuai dibawa hingga ke peringkat itu. Ia sememangnya tidak perlu kerana sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Anwar bersetuju dengan idea saya mengenai pengawalan mata wang, sekurang-kurangnya begitulah dilihat secara luaran.
Ada juga pihak yang mengatakan Anwar orang di sebalik peletakan jawatan oleh Gabenor dan Timbalan Gabenor Bank Negara. Bagaimana pun, pada waktu itu saya tidak mengesyaki apa-apa.
Dakwaan kononnya saya memecat Anwar kerana perbezaan cara kami menangani krisis kewangan sememangnya tidak tepat.
Beliau juga tidak disingkirkan kerana sebab-sebab politik, seperti cubaannya untuk menjejaskan sokongan parti terhadap saya. Sekira itu tanggapannya, saya pasti dengan mudah menguruskannya tanpa perlu memecat beliau.
Apabila KPN memaklumkan kepada saya bahawa polis telah mengambil keputusan untuk menangkap Anwar bersabit tindakan menghasut keganasan, saya berasa agak bimbang.
Ini kerana mereka yang bersimpati dengannya tidak akan menerima saja tindakan tersebut, malahan ia juga akan menyebabkan Anwar dijulang sebagai simbol ‘perjuangan’ politik mereka.
Lantaran saya menasihati KPN supaya jangan menggunakan kekerasan atau pun menggari Anwar apabila ditangkap. Bagaimana pun, sebaliknya polis menggunakan pendekatan yang biasa digunakan dalam amalan dan prosedur mereka – mereka pergi ke rumah Anwar dengan memakai tutup kepala, memecahkan pintu dan menggarinya. Beliau dihumban ke dalam van polis dan dibawa ke ibu pejabat polis.
Saya menyangka beliau akan dikenakan tuduhan di mahkamah serta merta, tetapi setelah beberapa hari tiada apa yang berlaku. Kemudian saya diberitahu beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri.
Berkali-kali saya bertanyakan kepada polis mengapa beliau belum lagi dikenakan tuduhan, tetapi mereka hanya memberikan jawapan yang samar.
Akhirnya saya mendapat tahu beliau mengalami kecederaan di bahagian mata sewaktu dalam tahanan dan polis mahukan supaya kecederaan itu sembuh sebelum beliau dibawa ke mahkamah dan menghadapi kamera.
Kesan lebam di mata itu, bagaimana pun, memakan masa untuk hilang dan memandangkan saya sendiri pun tidak mahu beliau ditahan di bawah ISA, saya memberitahu polis tidak lagi boleh berlengah.
Anwar dihadapkan dengan tuduhan pada 29 September 1998, sembilan hari selepas beliau ditangkap. Hari itu hari pertama beliau muncul di khalayak ramai dan lembam di matanya masih ketara.
Sebagai seorang doktor saya tahu betapa mudahnya bagi seseorang mengalami lebam di mata. Itulah sebabnya pada peringkat awal saya menyangka beliau telah terhantuk kepala.
Saya tidak pernah bayangkan seseorang membelasahnya. Perkara tersebut amat dimarahi ramai apabila saya berkata kemungkinan kecederaan itu disebabkan perlakuan sendiri, tetapi secara jujur saya tidak percaya polis membelasah beliau, terutama apabila saya telah mengarahkan KPN supaya berhati-hati.
Rupa-rupanya KPN Rahim sendiri yang bertanggung jawab menyebabkan lebam di mata Anwar. Dia membenarkan Anwar membangkitkan kemarahannya, lantaran ditempelengnya Anwar tanpa menyedari apa yang berlaku akan digunakan sepenuhnya sebagai modal oleh Anwar dan para penyokongnya.
Sebenarnya Rahim bukannya membantu saya dari segi politik – apa yang dilakukannya lebih banyak membawa mudarat kepada kedudukan Malaysia di mata dunia.
Dengan itu para penyokong Anwar dan parti-parti pembangkang memperoleh bukti nyata berhubung tuduhan saya bersikap ‘diktator. Mereka seterusnya mempamerkan poster-poster Anwar dengan mata lebamnya di seluruh pelosok negara.
Penyokong beliau menjadikan seolah-olah saya yang secara peribadi bertanggung jawab ke atas layanan ganas itu, walaupun saya cuba memastikan perkara tersebut tidak berlaku.
Anwar menghadapi tuduhan berasingan bersabit rasuah dan meliwat, tetapi kedua-dua tuduhan mempunyai kaitan dengan dakwaan beliau meminta seorang pegawai kanan polis, Datuk Mohamad Said Awang, Pengarah Cawangan Khas supaya mengugut Ummi Hafilda hingga memaksa dia menarik balik surat aduan pertama kepada saya itu.
Perbicaraan rasuah yang bermula pada 2 November, 1998 berlangsung selama lima bulan. Tahap keterujaan di mahkamah sewaktu keterangan diberikan oleh Mohamad Said begitu tinggi apabila beliau menjelaskan bagaimana Anwar mengarahkan beliau “menukar” pendirian Ummi Hafilda dan memaksa beliau menarik balik dan seterusnya menafikan kandungan suratnya kepada saya.
Tindakan tersebut dianggap sebagai rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan mahkamah mendapati beliau bersalah. Sejak daripada itu segala usaha perundangan Anwar gagal kerana kesemua rayuannya ditolak oleh mahkamah.
Perbicaraan liwat bermula pada 7 Jun 1999. Usaha untuk mengikuti perkembangan perbicaraan di akhbar amat mendukacitakan kerana berlaku beberapa kecuaian pihak pendakwa.
Satu peringkat yang amat menjengkelkan apabila pihak pembelaan mendakwa tindakan meliwat tidak berlaku pada hari yang disebutkan dalam tuduhan.
Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah tidak berkata apa-apa, seolah-olah menyetujui jenayah tersebut tidak berlaku, dan surat khabar pula turut melaporkan tiada pelakuan liwat.
Tetapi, walaupun ia tidak berlaku pada hari yang dinyatakan, tidak bermakna ia tidak berlaku sama sekali.
Masalahnya dengan pihak pendakwa, mereka kesemuanya penjawat awam belaka dan tidak mengerti tentang pemikiran penjenayah.
Amat mengecewakan mengikuti perkembangan tersebut kerana mereka tidak sebenarnya menjalankan tugas secara betul dan baik. Saya tidak dapat berbuat apa-apa.
Mereka mengemukakan begitu banyak bukti yang tidak relevan di mahkamah hingga menyebabkan orang ramai semakin kurang yakin kesahihan kes tersebut.
Walaupun akhirnya Mahkamah Tinggi mendapati Anwar bersalah, namun beliau berjaya mengutip kelebihan hinggakan ramai rakyat Malaysia berasa yakin beliau sebenarnya mangsa satu konspirasi politik.
Macam mana orang boleh percayakan ini saya sendiri tidak faham.
Untuk berkomplot menjatuhkan Anwar dengan cara ini saya memerlukan bantuan polis, Peguam Negara dan pendakwa-pendakwanya, saksi, hakim, pakar makmal forensik dan lain-lain lagi.
Tentu sekali seorang daripada kumpulan konspirator yang begitu ramai ini akan lambat laun membocorkan butiran komplot tersebut.
Walaupun beberapa orang saksi menganggap saya sebagai musuh, namun tidak seorang pun tampil untuk menyatakan bahawa dia dipaksa berbohong untuk menyokong saya.
Di antara saksi-saksi itu termasuk bekas Ketua Pengarah Agensi Pencegah Rasuah (ACA), Datuk Shafee Yahya, yang sebelum itu menuduh saya mencampuri penyiasatan agensi tersebut ke atas Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman.
Pada 1998 saya menerima banyak aduan mengatakan ACA keterlaluan sewaktu menjalankan penyiasatan. Oleh yang demikian dengan menyedari bagaimana kadangkala pegawai kerajaan bertindak keterlaluan dalam menjalankan tugas mereka, saya bertanya kepada Shafee supaya menerangkan keadaan tersebut.
Pertemuan kami tidak berjalan lancar dan Shafee menjadi marah dan menuduh saya mengganggu tugasnya.
Sebenarnya, apa yang berlaku dengan ACA tidak ada kaitan dengan kes Anwar. Tetapi Shafee berjaya diberi kesempatan di mahkamah dan begitu gembira berjaya dapat mencerca saya.
Walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, namun Mahkamah Persekutuan dengan suara majoriti membatalkan keputusan tersebut dan membebaskan Anwar bersabit tuduhan meliwat.
Mahkamah Persekutuan berkata bukti yang dikemukakan tidak selari dengan keterangan Azizan, iaitu dia diliwat oleh Anwar dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja (adik angkat Anwar) pada waktu, tarikh dan tempat yang disebutkan.
Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengetahui kandungan keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Anwar berikutan kesilapan teknikal berhubung tarikh kejadian yang didakwa berlaku.
Mereka juga tidak menyedari bahawa majoriti Mahkamah Persekutuan berpendapat terdapat “…bukti untuk mengesahkan pihak perayu (Anwar dan Sukma) terbabit dalam perlakuan homoseksual, dan oleh itu kami lebih mempercayai insiden di Tivoli Villa memang benar berlaku…”
Walaupun keputusan dibatalkan kerana kesilapan teknikal, hakikatnya apa yang dipersetujui secara konklusif oleh Mahkamah Persekutuan ialah keterlibatan Anwar dan Sukma dalam kegiatan homoseksual.
Satu lagi elemen yang didakwa sebagai “konspirasi’ saya terhadap Anwar ialah apa yang dianggap sebagai campur tangan saya dalam sistem perundangan.
Saya sering kali dituduh mencampuri urusan mahkamah, menghina hakim dan bermusuhan dengan profesion perundangan. Ini saya huraikan di muka surat lain.
Di sini saya hanya perlu menyatakan bahawa Anwar dibicarakan di mahkamah dalam kes yang saya lihat sebagai jelas.
Orang Melayu secara amnya alim dan bersifat konservatif, dan pada mereka meliwat adalah dosa besar. Mereka tidak akan membiarkan pelakuan sebegitu berlaku atau menunjukkan simpati terhadap orang yang melakukannya.
Bagaimana pun, nama baik Anwar yang diselubungi sifat alim telah mempengaruhi ramai orang bahawa tuduhan terhadapnya tidak dapat diterima akal.
Mereka enggan percaya Anwar sanggup berkelakuan sedemikian, walaupun pihak mahkamah mendapati beliau bersalah.
Media tempatan dan Barat juga keberatan untuk melepaskan persepsi mengenai imej saya yang didakwa bersikap ‘diktator’.
Media asing, terutama, berkata Anwar tidak bersalah dan pendapat itu diterima bulat-bulat oleh sesetengah rakyat Malaysia.
Dalam pada itu parti-parti pembangkang dan surat khabar mereka terus meletakkan saya dalam keadaan yang seburuk yang mungkin.
Saya dibuat seperti saya yang sedang dibicarakan, dan jika seseorang itu mempercayainya , seolah-olah keseluruhan hidup saya dan kerja-kerja saya hanya ditumpukan untuk membinasakan Anwar dan kerjayanya.
Sekali lagi Anwar mengemukakan saman malu terhadap saya berdasarkan jawapan saya kepada satu soalan oleh seorang wartawan selepas saya menyampaikan ucapan perasmian persidangan “Human Rights and Globalisation’ (‘Hak Asasi Manusia dan Globalisasi) yang ditaja oleh SUHAKAM pada 9 September 2005.
Menjawab soalan berhubung isu Anwar, saya menerangkan bahawa dalam masyarakat kita, meliwat tidak boleh diterima dan saya tidak boleh membenarkan seseorang yang bersifat sedemikian dalam Kabinet saya, dan bakal menggantikan saya sebagai Perdana Menteri.
Saya juga berkata, “Bayangkan kami mempunyai seorang Perdana menteri yang ‘gay’…tak ada seorang pun akan selamat.”
Bagaimana pun, Mahkamah Tinggi membatalkan saman malu Anwar terhadap saya…sekali lagi berdasarkan bahawa saya dilindungi pembelaan kebenaran (justifikasi) dan perlindungan bersyarat.
Rayuan Anwar seterusnya kepada Mahkamah Rayuan juga dibatalkan kerana terdapat beberapa kecacatan dalam Rekod Rayuan yang difailkan oleh peguamnya.
Pada 24 November 2010, Mahkamah Persekutuan memutuskan supaya permohonan Anwar untuk kebenaran mengemukakan rayuan ditolak.
Pada waktu Anwar dipecat, ahli-ahli Majlis tertinggi UMNO sering kali mengadu mengenai sikap media. Beberapa orang daripada mereka mencadangkan supaya tindakan diambil ke atas wartawan yang mengkritik, terutama apabila kritikan mereka ditujukan kepada saya secara peribadi.
Jika itu dilakukan – apabila pengarang-pengarang kanan dibuang atau dipindahkan, saya juga akan dipersalahkan oleh mereka di luar Majlis Tertinggi. Mereka akan berkata saya yang mengarahkan supaya mereka dibuang atau dipindahkan.
Saya perlu mengaku bahawa saya tidak pernah menyangkal segala yang didakwa, tetapi sebaliknya menyetujui keputusan Majlis Tertinggi kerana saya tidak mahu mereka yang mengambil berat tentang saya merasakan seolah-olah saya mengecewakan mereka.
Saya berpendapat mereka ikhlas menyokong saya. Tetapi apabila saya meletakkan jawatan mereka dengan pantas menentang saya untuk dilihat sebagai berpihak kepada bos baru mereka.
Secara kebetulan di bawah kepimpinan bos baru itulah Tan Sri Abdullah Ahmad , pengarang New Straits Times disingkirkan tanpa rasa ragu-ragu.
Beberapa orang pengarang kanan NST dan Utusan Malaysia turut disingkirkan. Ketika itu tidak seorang pun menuduh pengganti saya bertindak ke atas para pengarang yang tidak menyokong beliau.
Sama ada kita dapat menerimanya atau tidak, saya perlu menerima segala-galanya sebagai sifat kita orang Malaysia. Apabila kita berada di atas, orang akan cuba membaca pemikiran kita dan berusaha melakukan apa yang mereka berpendapat kita inginkan.
Mereka berasa marah bagi pihak kita, dan kita akan dilihat sebagai mengecewakan mereka sekiranya kita tidak turut berasa marah seperti mereka.
Seperti yang saya telah sebutkan, apabila Perdana Menteri Australia Paul Keating melabelkan saya sebagai seorang yang degil dan keras kepala, saya tidak marah – beliau berkata demikian kerana saya enggan mengikut jejak majoriti, dan label sedemikian sememangnya agak sesuai untuk saya.
Saya sering tidak melakukan segala yang dilakukan orang lain
Kebanyakan orang Malaysia memang macam itu, dan ia membolehkan negara ini menunjukkan betapa kita boleh berdiri di atas kaki sendiri dan berkeupayaan.
Tetapi mereka berkata saya sepatutnya berasa tersinggung dengan apa yang dikatakan Keating. Mereka pula yang berasa terhina bagi pihak saya berikutan apa yang diluahkan PM Australia itu. Saya tidak mahu memalukan mereka, jadi saya pun ikut saja.
Hal berhubung Anwar dan krisis mata wang telah menyebabkan Malaysia tidak stabil, justeru sememangnya menjadi tanggung jawab saya untuk bertindak mengimbangi keadaan ekonomi dan politik negara.
Menjelang lewat 1998, ekonomi negara semakin menunjukkan pemulihan, tetapi situasi politik masih tidak bertambah baik.
Pergerakan reformasi Anwar dan penubuhan Parti Keadilan disusuli dengan lebih banyak demonstrasi jalanan serta perhimpunan.
Walaupun saya telah bersara sebagai Perdana Menteri beberapa tahun lalu, dakwaan tentang aktiviti homoseksual Anwar tidak juga lenyap.
Segala-galanya berulang kembali apabila timbul dakwaan baru mengenai kegiatan homoseksual beliau.
Kali ini ia membabitkan pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang berusia 23 tahun. Dia mendakwa diliwat oleh Anwar pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Pada 7 Ogos tahun yang sama Anwar dihadapkan ke mahkamah bersabit tuduhan meliwat Saiful.
Pada 15 Ogos Saiful bersumpah menggunakan Quran di hadapan pegawai-pegawai Masjid Wilayah Persekutuan bahawa dia telah diliwat oleh Anwar.
Ini merupakan cara Saiful cuba membuktikan dia bercakap benar. Saiful kemudian mencabar Anwar supaya turut bersumpah menggunakan Quran dan menafikan tuduhan itu.
Pada 16 Ogos saya juga mencabar Anwar bersumpah menggunakan Quran bagi membuktikan yang beliau tidak bersalah. Saya kata sebagai seorang tokoh terkemuka di arena politik Malaysia Anwar sepatutnya bertindak mengikut sentimen orang ramai dan bersumpah dengan cara sedemikian selain mengemukakan kenyataan bersumpah berhubung dakwaan yang dibuat oleh Saiful.
Anwar tidak bersumpah menggunakan Quran untuk menafikan tuduhan bahawa beliau pernah meliwat Saiful. Dan oleh kerana perbicaraan masih berterusan saya tidak mahu membuat sebarang komen.
Tidak dapat dinafikan Anwar seorang yang berkarisma dan beliau tahu cara untuk mendapatkan sokongan daripada orang lain. Segala-gala yang saya lakukan untuk Anwar di masa-masa lalu kini diketepikan.
Saya digambarkan seolah-olah telah memangsakan beliau dan menghumbankannya ke dalam penjara, seolah-olah tiada perbicaraan dilakukan.
Apabila nama saya disebutkan di dalam mana-mana buku atau rencana, saya digambarkan sebagai seorang Perdana Menteri yang menghumban timbalannya ke dalam penjara. Apa yang nyata beliau sebenarnya dituduh mengikut prosedur dan seterusnya dibicarakan, tetapi ini tidak pula disebutkan.
Sememangnya sifat saya untuk memaafkan orang, dan saya telah memulihkan karier beberapa orang yang pernah cuba menjejaskan kedudukan politik saya. Ini saya lakukan hingga sanggup menamakan seorang daripada mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Anwar dipecat.
Tetapi saya mendapati sukar untuk memaafkan Anwar kerana tindakannya memburukkan saya di mata dunia.
Sepatutnya hari ini Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana tindakannya sendiri. Beliau tidak memberikan saya pilihan selain menyingkirkan beliau, dan saya berpendapat apa yang saya lakukan adalah yang terbaik untuk negara.
Mungkin saya pernah melakukan banyak kesilapan, tetapi memecat Anwar bukan satu daripadanya.