LAGU UNTUK BLOGGER

Tuesday 20 December 2011

Anuar "penakut"

KUALA LUMPUR, 20 Dis. – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilabelkan sebagai ‘tak cukup jantan’ kerana terus bersikap hipokrit dan munafik dalam usahanya untuk mewujudkan kembali popularitinya yang sejak kebelakangan ini semakin hilang.

Terbaru, Anwar telah melakukan tuduhan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kononnya bekas perdana menteri itu pernah menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Dalam hal ini, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin tidak hairan dengan tindakan Anwar malahan sejak dari dulu dia sememangnya telah mengenali Anwar sebagai manusia hipokrit besar yang telah hilang kredibilitinya.

“Apabila Tun Mahathir menafikan malahan sanggup melakukan sumpah bersama-sama Anwar sendiri maka saya tidak fikir yang Anwar akan berani untuk menyambutnya malahan dia akan terus-terusan berdolak-dalik sebagaimana sebelum ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Terang beliau, sememangnya telah menjadi resepi wajib Anwar dalam menolak penyaksian melalui sumpah yang sebelum ini enggan dilakukan bermula dengan pelbagai kes membabitkan tuduhan moral, kemudiannya mengaitkan Altantuya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, isu video seks dan juga pembelaan di mahkamah.

“Tindakan Anwar membuat tuduhan kepada Tun Mahathir adalah untuk mendapatkan perhatian dan mula mencari idea bagi mewujudkan ‘roadshow’ apatah lagi sejak kebelakangan ini dilihat anggota pakatan pembangkang sudah semakin kendur.

“Saya dan rakan-rakan yang lain bertindak meninggalkan PKR sebelum ini kerana tahu bahawa Anwar adalah manusia yang tidak konsisten dalam mempertahankan soal akhlak dan maruah malah bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi juga kepada orang lain apatah lagi untuk agama, bangsa dan negaranya.”

Ujarnya, tindakan Anwar ini berterusan dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda keinsafan sebaliknya terus mengulangi kemungkaran dan sifat munafik dengan mewujudkan isu-isu sama tetapi berwajah baru.

“Kalau benar Anwar anak jantan sebagaimana beraninya dia melemparkan tuduhan kepada pemimpin ulung iaitu Tun Mahathir maka dia mesti mendatangkan bukti yang sahih dan kuat atas tuduhan yang telah dilakukan tetapi kalau bukti tersebut tidak ada maka ia adalah tuduhan yang pasu dan tidak sah.

“Tindakan Anwar adalah menunjukkan kehinaannya dalam berpolitik, bukan saja gagal menunjukkan sebarang bukti apatah lagi untuk menyambut cabaran bersumpah.”

Tambahnya lagi, jika diamati, kemuncak masalah kegawatan ekonomi negara yang berlaku sebelum ini sebenarnya adalah kerana kepincangan daripada Anwar sendiri yang pada ketika itu menjawat Menteri Kewangan kerana ia diberikan kuasa mutlak dalam kementeriannya tanpa pemerhatian daripada Perdana Menteri sebagaimana yang berlaku sekarang.

“Sebenarnya Anwar telah terjerat dalam permainannya apabila beliau cuba menyerang kredibiliti Tun Mahathir sedangkan semua pihak tahu siapa sebenarnya ‘barua’ IMF dan ‘barua’ bank dunia.

“Semua pihak juga tahu siapa Anwar yang sebenarnya biarpun dia tidak pernah sekalipun bersumpah waima dalam mahkamah. Kalau Anwar mahu berdebat, tak perlulah buang masa kerana ramai orang yang sanggup berdepan dengan dia termasuklah saya sendiri.

“Semakin banyak dia menuduh dan menyerang orang lain maka sebenarnya semakin banyak kepincangan dan kedangkalannya yang begitu keanak-anakan terserlah. Inilah desperado politik Anwar.” - MediaUMNO

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment