LAGU UNTUK BLOGGER

Friday 13 January 2012

PRU tidak lama lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau berharap pilihan raya umum akan dapat diadakan "tidak lama lagi" tetapi menurutnya kerajaan masih perlu membuktikan bahawa pembaharuan ekonomi berjaya memberikan kesan sebenar sebelum beliau bersedia mengembalikan semula kuasa kepada rakyat.
Dalam satu wawancara yang diterbitkan Wall Street Journal, pada Jumaat Najib berkata secara dasarnya "pilihan raya adalah satu tindakan yang perlu dilakukan berasaskan faktor keyakinan, dan ketika itulah anda melakukannya. Tetapi akhirnya ia adalah suatu keputusan yang mengikut gerak hati.

"Anda boleh memiliki semua tarikh tetapi anda mesti merasakan bahawa inilah masa yang sesuai. Saya berharap ia akan menjadi satu masa yang tepat tidak lama lagi, tetapi kami masih perlu mengotakan janji-janji kami dan ini amat penting kepada rakyat untuk merasakan bahawa pembaharuan yang dijanjikan sebenarnya memberi manfaat kepada mereka," kata beliau.

Dalam wawancara itu, Najib dilaporkan sebagai mengakui bahawa suasana ekonomi global yang merosot terutamanya krisis hutang yang berterusan di Eropah boleh menyukarkan beliau membuat keputusan berhubung bila pilihan raya boleh diadakan.

Laporan itu menyebut ramalan ekonomi yang semakin merudum juga boleh menyebabkan Najib membubarkan Parlimen sekaligus memberi laluan pilihan raya diadakan lebih cepat daripada yang dirancang.

"Namun setakat ini, kami masih agak selesa kerana daripada segi jumlah dagangan yang melibatkan Kesatuan Eropah hanya melibatkan kira-kira 9 peratus, oleh itu kami tidak begitu terjejas," kata beliau.

"Tetapi kejatuhan zon Eropah atau bentuk bencana lain akan menjejaskan seluruh dunia."

Pilihan raya umum lepas diadakan pada 8 Mac 2008 dan mandat kerajaan semasa hanya akan berakhir pada Mac 2013.

Najib berkata kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang akan meningkatkan usaha mereka untuk menguasai medan politik Malaysia dalam tempoh beberapa bulan ini.

Merujuk keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata sebaik keputusan itu diketahui, "kesemua ketegangan yang menyelubungi perbicaraan itu hilang dan orang ramai kini menyedari bahawa ada perkara lain yang lebih penting daripada hanya isu Anwar."

"Apa yang penting kini ialah kita mesti meneruskan kehidupan," kata beliau dan menyebut tindakan yang diambil untuk menjadikan pilihan raya umum akan datang yang lebih telus.

- http://www.agendadaily.com

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment