KUCHING, 26 Mei (Bernama) — Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan mula melaksanakan operasi penguatkuasaan di terminal-terminal bot ekspres utama di Sarawak mulai esok.
Pengerusi LSS Roland Sagah Wee Inn berkata operasi tersebut ada…lah sempena menyambut Hari Gawai yang bakal disambut pada 1 dan 2 Jun depan yang akan menyaksikan kesesakan di terminal bot dan di dalam bot ekspres.
“LSS akan melancarkan operasi penguatkuasaan dengan menempatkan anggota penguatkuasa secara maksimum di kawasan-kawasan yang dijangka penuh sesak dengan penumpang seperti di Terminal Penumpang Sibu, Kapit, Song, Kanowit, Sarikei, Kuching, Bintulu dan Marudi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Selain operasi di terminal, LSS juga akan mengendalikan pemantauan di sungai-sungai tertentu dengan melaksanakan sekatan sungai di kawasan-kawasan strategik,” katanya.
Beliau berkata operasi akan dijalankan mulai 27 Mei sehingga 31 Mei dan 11 Jun hingga 12 Jun ini di seluruh negeri.
Katanya antara tujuan utama operasi itu dijalankan adalah untuk memastikan setiap bot tidak membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan, tidak berebut-rebut apabila menaiki atau menuruni bot dan pengusaha bot tidak menaikkan kadar tambang dengan sewenang-wenangnya.
Selain itu untuk memastikan setiap bot bergerak mengikut jadual yang telah ditetapkan dan penumpang mendaftar nama mereka dalam borang yang disediakan sebagai rekod LSS.
Beliau berkata LSS telah mengenal pasti terminal-terminal yang akan mengalami kesesakan dan kesibukan pada musim Gawai tahun ini berdasarkan rekod pada tahun-tahun yang lalu.
“Dianggarkan kira-kira 10,000 orang penumpang serta orang ramai berurusan di Terminal Penumpang Sibu sehari pada musim perayaan Gawai tahun lalu dan jumlahnya dijangka tidak jauh berbeza pada tahun ini,” katanya sambil menambah pengusaha bot ekspres boleh memohon untuk membuat perjalanan tambahan sekarang.
“Saya memberi jaminan bahawa kelulusan untuk membuat perjalanan tambahan dapat diberikan dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Permohonan hendaklah menggunakan borang yang disediakan di semua Terminal Penumpang Utama di seluruh negeri.
“Kepada pihak media, kami memohon kerjasama agar merakamkan gambar dan nama bot yang membawa muatan berlebihan khususnya bot penumpang untuk membolehkan pihak LSS mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya lagi.– BERNAMA
No comments:
Post a Comment