LAGU UNTUK BLOGGER

Tuesday 17 May 2011

Jabu:MOCS golongan kecewa,cemburu?

MOHON BERKAT: Jabu (dua, kanan) melakukan upacara miring bersama (dari kiri) Minjo, Rundi serta Saudi.

MUKAH: ‘Operasi Taibetes’ oleh Movement For Change Sarawak (MoCS) adalah tindakan yang akan memundurkan negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Menurut beliau, MoCS yang kecewa ekoran kegagalan calon-calon pergerakan itu meraih sokongan rakyat menerusi tiket Bebas dalam pilihan raya negeri ke-10 lalu cemburu dengan kejayaan Barisan Nasional (BN).
Beliau menyatakan demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Perpaduan Gawai Dayak Bahagian Mukah di The Grand Kingwood Resorts, di sini pada Sabtu.

“Kenyataan MoCS yang mahu Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang merupakan luahan kecewa kerana mereka tidak diterima rakyat.
“Pilihan raya baru berlalu. Rakyat memilih BN dan menolak mereka. MoCS langsung tidak menghormati prinsip demokrasi. Siapa mereka untuk melawan suara rakyat?”

Jabu turut menempelak MoCS sebagai cuba membelakangkan rakyat yang mahukan BN meneruskan gelombang kedua agenda politik pembangunan di negeri ini.
“Pada masa yang sama, saya memberi amaran kepada pihak-pihak pembangkang dari Semenanjung Malaysia supaya tidak memasuki negeri ini untuk merosakkan perpaduan rakyat. Jika itu berlaku, mereka perlu dipertanggungjawabkan.

“Justeru, jangan menyalahkan kami andai bertindak balas terhadap pihak-pihak pembangkang dari Semenanjung Malaysia yang cuba menyentap keharmonian hidup rakyat negeri ini,” tegasnya.
Baru-baru ini, pemimpin mentor MoCS Francis Siah melancarkan ‘Operasi Taibetes’ iaitu kod untuk meminta Taib meletak jawatan sebelum 13 Ogos akan datang.
Jika permintaan itu tidak dipenuhi MoCS merancang untuk menganjurkan protes awam di beberapa lokasi strategik negeri ini secara besar-besaran seperti yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.
Hadir sama, Menteri Muda Kesihatan dan Kemudahan Awam Dr Stephen Rundi Utom, Residen Mukah Saudi Narani serta pengerusi penganjur Minjo Simanding.

Lebih 1,000 tetamu menghadiri keramaian anjuran bersama Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) itu.
sumber:Borneo online

No comments:

Post a Comment