LAGU UNTUK BLOGGER

Monday 19 December 2011

MP Stampin tidak pertahankan kerusi.

KUCHING: Ahli Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng yang tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang memberitahu beliau sudah mengenal pasti tiga calon berpotensi untuk membantu Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi itu.

Namun beliau berkata: “Terlalu bahaya untuk memberi petunjuk (sekarang).”

Beliau bagaimanapun mendedahkan salah seorang calon berpotensi ialah muda dan berusia dalam lingkungan 30-an.

Yong yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menambah, tiga calon yang bermain dalam mindanya mempunyai latar belakang pelbagai dan semuanya Cina. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

Beliau turut menafikan salah seorang calon berpotensi adalah wanita tetapi spekulasi hebat mengatakan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan Naib Presiden SUPP yang baharu Tan Joo Phoi mungkin dipertimbangkan.

“Salah seorang daripada mereka adalah muda dan dua lagi pertengahan umur… mesti calon yang boleh menang, seseorang yang akan diterima rakyat.

“Calon mesti dedikasi berkhidmat kepada masyarakat. Lebih penting, beliau mesti ikhlas dan jujur seperti saya,” katanya sambil berseloroh kepada media semalam.

Terdahulu Yong merasmikan jualan amal Persatuan Penjagaan Kehidupan Kuching di kompleks beli- belah Boulevard, di sini.

Beliau menambah, rakyat mungkin pernah berjumpa dengan ketiga-tiga calon itu dalam majlis dihadirinya dan memberitahu calon mesti ahli parti (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) sekurang-kurangnya tiga tahun.

Sebagai penyandang, beliau berkata adalah satu kesedihan buatnya jika calon diketengahkannya gagal mempertahankan kerusi itu nanti sambil menambah beliau tidak boleh menganggap Stampin sebagai ‘kawasan putih’ lebih-lebih lagi berdasarkan keputusan pilihan raya negeri April lalu.

“Saya seharusnya mengatakan Stampin sebagai kawasan ‘kelabu hingga hitam’ walaupun saya tidak boleh menjelaskannya,” ujarnya.

Beliau menambah jika pengundi di Stampin menolak Barisan Nasional (BN) pada PRU nanti, beliau menerima keputusan pengundi di situ walaupun payah untuk diterima.

“Kehilangan kerusi Stampin adalah suatu yang sangat sedih tetapi itu pilihan pengundi,” katanya.

Yong bertanding buat pertama kalinya pada 1990, dan Ahli Parlimen lima penggal itu berikrar untuk membantu calon BN mempertahankan Stampin pada kempen pilihan raya nanti.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment