LAGU UNTUK BLOGGER

Saturday 17 March 2012

KDN minta bukti PKR kerjasama dengan badan berkaitan Yahudi

KLUANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini meminta Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim, supaya mengemukakan bukti mengenai wujudnya kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan dua badan asing berkaitan Yahudi supaya siasatan mengenainya dapat dilakukan. 

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya akan melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut tetapi ia perlu bersandarkan pada bukti yang didakwa ada pada Ahli Parlimen itu.


"Kalau ada bukti, panjangkan kepada saya. Kalau ada kaitan dengan agensi lain seperti transaksi kewangan, kita (KDN) kena serahkan kepada Bank Negara kerana kita tidak mempunyai kepakaran untuk menyiasat," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra rakyat bersama usahawan Tekun dan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Sembrong di Felda Ulu Belitong, di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Zahrain pada persidangan Dewan Rakyat dua hari lalu yang berharap KDN tidak mengambil mudah mengenai dakwaan kononnya wujud kerjasama PKR dengan dua badan asing berkaitan Yahudi bagi membentuk gerak kerja pilihan raya bagi menentang Barisan Nasional. 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, pada masa sama juga meminta KDN supaya memandang serius isu itu kerana melibatkan soal keselamatan negara. 

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, semua pihak perlu berganding bahu dengan pihak antarabangsa bagi mendapatkan bukti yang benar-benar kukuh sebelum pendakwaan dapat dilakukan. 

"Apa jua tindakan mesti bersandarkan bukti. Ia bukan berkisar pada tanggungjawab polis sahaja. Perkara membabitkan wang kena ada agensi lain seperti Bank Negara dan Kastam. Saya hendak ingatkan Musa (Datuk Musa Sheikh Fadzir) juga, hal ini bukan perkara baru tetapi perlu disandarkan dengan hujah dan bukti yang kukuh," tegasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai Jabatan Imigresen yang mengesahkan wujudnya penyalahgunaan visa atau pas lawatan sosial yang diberikan kepada pelancong dari negara tertentu, Hishammuddin berkata pihaknya akan melaksanakan mekanisme baru bagi memantau dan menyaring kemasukan pelancong khususnya dari China bagi mengekang kegiatan pelacuran, dadah, keganasan dan penyeludupan. 

Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari China untuk melaksanakan kaedah saringan baru itu yang akan diumumkan dalam masa terdekat. 

"Aktiviti jenayah yang semakin merentas sempadan termasuk pelacuran ini bukan unik kepada negara kita saja kerana ia membabitkan sindiket tempatan dan antarabangsa. Oleh itu, kita mengambil keputusan ia perlu ditangani di negara sumber atau asal pelancong yang menyalahgunkan visa pelancongan ini," katanya. 

Sementara itu, Hishammuddin turut meminta orang ramai khususnya pengguna laman sosial supaya tidak mempertikai kedudukan Malaysia yang berada antara 19 negara selamat diduduki daripada 153 di dunia, di laman berkenaan. 

Beliau berkata, kedudukan negara selamat itu dibuat bersandarkan kepada pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam tempoh dua tahun setengah ini yang menerusi 50 kawasan panas jenayah di seluruh negara. 

"Ianya bersandarkan kepada jenayah jalanan yang pada masa dan ketika itu yang hangat diperkatakan seperti ragut dan sebagainya. Jangan lihat satu dua kes yang terpencil yang bukan jenayah berleluasa seperti bunuh dan rogol untuk mengelirukan rakyat bahawa apa yang kita lakukan di bawah NKRA itu tidak berjaya," katanya. 

Kedudukan Malaysia antara 19 negara selamat diduduki itu diiktiraf melalui Indeks Keamanan Global 2011 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada lawatan kerjanya di Kulaijaya, dekat sini, 6 Mac lalu. 
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment