Oleh: RAMLI MOHD ZAIN
PEMIMPIN UMNO Sabah digesa membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka tidak bersubahat menyembunyikan penipuan dan rasuah yang dilakukan oleh ‘Orang Tengah’ atau Juru Perunding Yayasan Sabah, Michael Chia Thien Foh sehingga mencemarkan nama baik UMNO Sabah.
Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat, Semporna, Azizul Sanarul ketika menghubungi Krew Sabahkini.net di Semporna berkata beliau memandang berat pendedahan seorang saksi di Mahkamah Sandakan bahawa Michael Chia meminta Datuk Agus Hassan Tan memenuhi tiga syarat ‘palsu’ sebelum diberikan surat kelulusan mobilasisi jentera ke dalam kawasan konsesi pembalakan.
“Saya tidak nampak kerana pemimpin UMNO Sabah termasuk Ketua Perhubungan UMNO Sabah begitu bacul sehingga enggan membuat laporan polis dan SPRM walaupun mengetahui bahawa Michael Chia telah mencemarkan nama baik UMNO Sabah dengan merompak kontraktor yang mendapat konsesi secara sah,” ujar Azizul yang menegaskan kes ini hanya contoh nyata betapa mudahnya penjenayah kolar putih melakukan jenayah di pejabat atau GLC kerajaan tanpa sebarang kekangan.
Menurut Azizul, beliau tidak berniat untuk mahu mengganggu atau melakukan subjudis kepada proses perbicaraan yang sedang berjalan di Mahkamah Sandakan, namun UMNO Sabah harus peka dengan keluhan rakyat bahawa ‘Rasuah’ punca kemiskinan di Sabah, terutama syarikat konsesi terbabit kerugian lebih RM20 juta kerana mereka tidak mahu memenuhi syarat yang ditetapkan ‘Orang Luar’ yang begitu berpengaruh di Yayasan Sabah.
Sebelum ini, kata Azizul, Skandal Bangunan UMNO belum selesai dan kini ditambah dengan ‘Skandal Derma RM3 juta’ daripada Peluamas Sdn.Bhd tidak ditangani secara bijaksana, ramai ahli UMNO akan meninggalkan UMNO sebelum BN karam pada pilihanraya umum akan datang.
“Jika pemimpin UMNO Sabah sudah tidak lagi bermaruah, maka saya sendiri terpaksa membuat laporan polis dan SPRM agar nama baik UMNO Sabah dibersihkan dan mendesak hukuman berat dikenakan ke atas Michael Chia dan mereka yang bersubahat dengannya,” ujar Azizul yang memberi notis 24 jam kepada pemimpin UMNO untuk membuat laporan polis.
sumber:the untouchable
No comments:
Post a Comment