LAGU UNTUK BLOGGER

Wednesday 25 April 2012

Su Agung BN :Mari muzakarah,jangan ugut

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu isu agar tidak menjadikan kaedah ugutan, sebaliknya tampil “bermuzakarah” bagi mencari jalan penyelesaian.

Tengku Adnan berkata, pihak-pihak tertentu kini dilihat menjadikan trend ugutan sebagai satu kaedah jika permintaan mereka tidak ditunaikan oleh pihak kerajaan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, beliau tidak faham sebab harus menggunakan kaedah ugutan sedangkan yang membuat ugutan itu adalah seorang yang beragama Islam.

“Sepatutnya kita boleh bermuzakarah dan berbincang bagi mengatasi sebarang masalah yang timbul kerana ada ketika pandangan mereka betul, mungkin kerajaan betul… semuanya boleh dibincangkan.

“Sekiranya ada kesilapan, pihak kerajaan sentiasa bersedia untuk memperbaikinya. Ini yang sepatut kita lakukan bukan dengan ugutan. Saya seorang manusia yang suka cari punca kerana ingin mengetahui kenapa perkara tersebut boleh berlaku,” kata beliau dalam temu bual eksklusif bersama  Sinar Harian Online, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Gerakan Selamatkan Felda, Mazlan Aliman yang akan menggerakkan seluruh jentera pergerakan itu untuk bekerja sama dengan pergerakan globalisasi menentang Lynas dan Bersih mengadakan satu perarakan raksasa.

Menurut Mazlan, perarakan itu bakal melibatkan 54 kawasan Parlimen di semua tanah rancangan Felda untuk menentang kerajaan jika 10 resolusi yang dicapai pada Konvensyen Hala Tuju minggu lalu bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan Felda tidak diambil tindakan segera oleh kerajaan.

“Antara perkara yang digariskan dalam resolusi termasuklah penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) ditentang kerana didakwa terdapat penglibatan syarikat Yahudi yang merangkumi 20 peratus kepentingan Felda yang dijual.

“Sekiranya masih tiada perubahan terhadap isu-isu itu, pihaknya akan menawarkan pakej yang sama kepada Pakatan Rakyat dan jika mereka bersetuju dengan resolusi itu, pihaknya akan memastikan parti itu menjadi kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Bantahan ini dilakukan kerana kami khuatir bahawa agenda penyenaraian ini bagi mengaburi motif lain iaitu untuk mengambil dana bagi tujuan tertentu kerana kerajaan mahu meneruskan langkah penyenaraian kerana sedang mencari dana bagi menghadapi PRU13,” katanya.

Sementara itu, jelas Tengku Adnan, ketika ini pihak pembangkang menjadikan semua perkara sebagai ugutan termasuk isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menuduh kerajaan tidak telus mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jika benar SPR tidak telus, bagaimana mereka boleh memang di lima negeri dan buktinya ada  82 wakil rakyat mereka menjadi ahli Parlimen.

“Malah, dalam isu Perak dulu, beberapa wakil rakyat yang tidak puas hati dengan Menteri Besar Perak lalu bertindak keluar parti, mereka tetap melemparkan tuduhan kepada Barisan Nasional (BN) sebagai dalang.

“Kalau betul kita tipu, takkanlah kita hendak bagi mereka menang? Kebanyakan pertubuhan yang ada ketika ini juga sebenarnya didalangi oleh pembangkang dan pihak luar termasuk Malaysian For Free Elections (Mafrel),” kata Tengku Adnan.

Tengku Adnan berkata, semasa pilihan raya umum lalu, anggota Mafrel berada di pusat pembuangan undi dan berkempen untuk pihak pembangkang sedangkan mereka mendakwa diri mereka sebagai sebuah badan pemerhati bebas.

Ujar beliau lagi, perkara yang sama turut berlaku di Dataran Merdeka di mana mereka yang didalangi pihak tertentu cuba memburukkan kerajaan dan mereka turut diajar oleh kumpulan tertentu cara-cara mengadakan perhimpunan.

“Saya tidak faham dengan anak muda di negara ini yang mudah terpengaruh dengan anasir tidak menentu dan lupa perjuangan sebenarnya yang dilakukan oleh golongan sebelum ini. Jangan sampai jadi ada mata tetapi buta, ada telinga tetapi pekak, dan ada mulut tetapi bisu. Ini adalah dunia akhir zaman,” katanya.- Sinar Harian


- http://detikperubahan.com/2012/04/25/su-agung-bn-mari-muzakarah-jangan-ugut/?utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment